Samun 9 dulang barang kemas

Dua perompak larikan 9 dulang barang kemas di Seremban
August 25, 2012
Lima lelaki baju sedondon rompak kedai emas
August 26, 2012
Show all

Samun 9 dulang barang kemas

SIASAT... pasukan forensik menjalankan siasatan di kedai emas selepas kejadian samun membabitkan senjata api.
SIASAT… Pasukan forensik menjalankan siasatan di kedai emas selepas kejadian samun membabitkan senjata api.

SEREMBAN: Dua perompak bersenjatakan sepucuk pistol automatik melarikan sembilan dulang barang kemas dalam tempoh kurang lima minit di sebuah kedai emas dalam kejadian samun di Jalan Datuk Bandar Tunggal, di sini, petang kelmarin.

Kejadian berlaku jam 5 petang selepas dua suspek memakai topi keledar menyerbu masuk ke kedai emas itu ketika pekerjanya berkemas untuk menutup operasi.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Superintendan Lim Kim Fook berkata, siasatan awal mendapati dua lelaki berusia 30-an datang ke kedai terbabit dengan sebuah motosikal dan berhenti di depan premis.

Beliau berkata, sebaik masuk ke kedai, kedua-dua lelaki itu meminta tiga pekerja di kaunter memasukkan barang kemas pelbagai jenis ke dalam beg dibawa sambil seorang daripada mereka mengacukan pistol.
“Ketika kejadian, ada lima orang di dalam kedai, termasuk seorang pengawal keselamatan yang tidak bersenjata selain tiga pekerja di kaunter kedai jam yang terletak bersebelahan.
“Ketika itu, pemilik kedai berada di bahagian belakang dan semua yang berada di dalam premis terpaksa menurut permintaan penjenayah terbabit demi keselamatan.

 

“Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri bersama sembilan dulang barang kemas,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Lim berkata, tiada pelanggan di dalam premis ketika kejadian dan pemilik sibuk berkemas untuk menutup kedai.

Menurutnya, polis akan meneliti rakaman kamera kawalan litar tertutup (CCTV) dan kerugian belum ditaksirkan.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan setakat ini suspek belum dikenal pasti.
“Ini antara kejadian samun terbesar setakat ini membabitkan kedai barangan kemas,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Samun9dulangbarangkemas/Article/artikelMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *