Polis cari saksi kes rompakan RM3 juta Emas

Polis dedah modus operandi tipu bank
July 26, 2012
Report on the global rise in the gold stock exchange
July 28, 2012
Show all

Polis cari saksi kes rompakan RM3 juta Emas

Polis cari saksi kes rompakan RM3 juta
Gambar ini dirakamkan oleh sumber yang tidak diketahui dan disiarkan di beberapa blog dan laman Facebook secara meluas.

GEORGETOWN – Polis meminta orang ramai yang melihat kejadian rompakan barang kemas bernilai lebih RM3 juta di sebuah kedai emas dalam pasar raya Carrefour Seberang Jaya tampil memberi maklumat.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nasir Salleh berkata, sehingga kini tiada tangkapan dibuat dan berharap bantuan dan maklumat individu yang melihat kejadian itu untuk membantu polis menjejaki penjenayah terbabit.

“ Kita masih giat menyiasat kejadian itu. Sehingga kini, kita masih mengumpul maklumat dan bukti. Bagaimanapun, kita memerlukan maklumat daripada saksi kejadian bagi mengesan mereka.

“Semua maklumat yang disalurkan kepada polis adalah rahsia. Jangan bimbang untuk tampil memberi maklumat dengan menghubungi balai polis terdekat atau terus kepada saya di talian, 019-4000141,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Mohd Nasir turut mengesahkan gambar yang disiarkan di beberapa blog dan laman Facebook adalah gambar sebenar namun enggan mengesahkan sumbernya.

Gambar berkenaan menunjukkan salah seorang penjenayah itu mengacukan pistol ke arah kepala seorang pekerja kedai emas berkenaan yang dijadikan tebusan.

“Penjenayah berkenaan berbuat demikian untuk menyelamatkan dirinya dan pergi ke tempat meletak motosikal di bawah pasar raya berkenaan.

Pekerja itu dijadikan tebusan sebelum semua penjenayah berkenaan melarikan diri,” katanya.

Pada 13 Julai lalu, pengunjung pasar raya itu gempar apabila tiga lelaki yang menyamar sebagai pelanggan melarikan barang kemas bernilai lebih RM3 juta dari sebuah kedai emas dalam pasar raya berkenaan.

Ketika kejadian, terdapat tujuh pekerja dan seorang pelanggan di dalam kedai itu.

Difahamkan, ketiga-tiga lelaki terbabit memasuki kedai emas dan menyamar sebagai pelanggan dengan meminta pekerja kedai emas itu mengeluarkan rantai emas kononnya untuk dibeli.

Mohd Nasir berkata, selepas permintaan mereka dilayan, ketiga-tiga lelaki terbabit mengeluarkan tiga pucuk pistol serta mengacukannya kepada pekerja namun seorang pelanggan sempat melarikan diri ketika kekecohan berlaku.

“Mengikut siasatan, kita percaya perompak adalah warga asing menerusi percakapan mereka dalam bahasa Hokkien dan bahasa Melayu yang agak pelat. Mereka berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/polis-cari-saksi-kes-rompakan-rm3-juta-1.70566

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *