Pencuri ikut bumbung kebas emas RM300,000

Emas 24k
June 14, 2012
Show all

Pencuri ikut bumbung kebas emas RM300,000

KUALA KRAI: Selepas tiga kes kejadian pecah masuk kedai emas berlaku dalam tempoh dua bulan di negeri ini, satu lagi kes dipercayai menggunakan modus operandi sama berlaku di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, seorang pemilik kedai emas kerugian kira-kira RM300,000 apabila kedainya dipecah masuk dan hanya menyedarinya jam 5.30 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Wahab Yaacob berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek lebih daripada seorang dan mereka masuk ke dalam kedai emas berkenaan menerusi bumbung serta lubang angin.

“Selepas dapat masuk, suspek menebuk bilik kebal dan peti besi sebelum melarikan pelbagai barang kemas dianggarkan bernilai RM300,000.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi balai polis berdekatan atau Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Krai di talian 09-9666222.

Sementara itu, pemilik kedai emas, Lew Siao Ping, 48, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas membuka kedai pada jam 5.30 pagi.

“Sebaik masuk ke dalam kedai, saya lihat pintu bilik kebal di bahagian tangga tingkat atas berlubang dan terbuka. Saya segera berlari ke peti besi dan mendapati peti besi ditebuk dan semua barang kemas di dalamnya, hilang.

“Saya kemudian membuat laporan polis di IPD Kuala Krai pada jam 6 pagi,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu pertama kali berlaku sejak dia membuka perniagaan menjual emas 18 tahun lalu.

Harian Metro pada 6 Jun lalu melaporkan, sekumpulan pencuri menggunakan taktik menceroboh sebuah kedai emas melalui bumbung sebelum menebuk peti besi mengandungi pelbagai barang kemas dalam kejadian di Pasir Tumboh.

Akibatnya, pemilik kedai itu, Lu Saing Ai, 49, yang menjalankan perniagaan di kedai itu sejak 26 tahun lalu mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM300,000.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PencuriikutbumbungkebasemasRM300_000/Article/index_html