Jual emas untuk teruskan hidup

Lelaki guna helah tempah cincin tunang, larikan rantai emas
November 19, 2012
Jurujual licik kikis emas
November 26, 2012
Show all

Jual emas untuk teruskan hidup

SEORANG lelaki tempatan berjalan melewati sebuah kedai emas di Damsyik.

 

DI SEBUAH kedai barang kemas Damsyik, seorang pelanggan ternganga mulut apabila mendengar harga yang ditawar untuk sebentuk cincin emas miliknya hanya bernilai AS$100 (RM306).

“Tidak boleh dapatkan harga yang lebih baik?” dia bertanya dengan malu-malu sebelum menerima perjanjian itu.

Hampir 20 bulan konflik berterusan, ramai penduduk Syria kini terpaksa berhempas-pulas mencari sumber kewangan. Ramai yang terpaksa menjual barang-kemas yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.

Bagi mereka yang hilang mata pencarian akibat daripada penutupan atau pemusnahan tempat kerja, menjual emas ialah keputusan yang terpaksa dibuat dan satu-satunya pilihan yang ada demi mengisi perut ahli keluarga yang lain.

Bagi golongan kaya, logam berharga itu merupakan benteng pertahanan terhadap kejatuhan pound Syria.

Dibuang kerja

Menurut anggota Dewan Perdagangan Damsyik, Sonia Khanji, 30 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana di negara itu kini ditutup dan kira-kira satu perempat daripada tenaga kerja telah dibuang kerja.

Transaksi penjualan emas terus berlaku di Hariqa yang terletak di tengah-tengah ibu kota. Seorang wanita muda sedang tawar menawar untuk harga sebentuk cincin besar yang diwarisi daripada neneknya.

“Saya akan beli cincin itu dengan harga 55,000 pound Syria (RM2,387) setelah anda membuat keputusan muktamad untuk menjualnya,” kata seorang bakal pembeli.

Wanita itu terus berlalu pergi kerana yakin tawaran yang diberikan itu terlalu rendah.

“Dia akan kembali. Dia kelihatan seperti memerlukan wang tunai,” kata lelaki itu yakin.

Masyarakat Syria mula sedar inflasi yang berlaku mengurangkan kuasa beli mereka sebanyak satu pertiga sejak pemberontakan menentang rejim Presiden Bashar al-Assad tercetus pada Mac 2011.

GOLONGAN atasan dan pertengahan Syria yakin bahawa pelaburan emas menjamin masa depan mereka.

 

Masa yang diperlukan untuk menstabilkan mata wang dan harga barangan dalam negara itu terlalu lama.

Damsyik menyalahkan masalah ekonomi negara berlaku gara-gara sekatan yang dikenakan oleh Eropah dan Amerika Syarikat.

Menurut seorang tukang emas, Bassil Mdari, disebabkan peristiwa berdarah yang terjadi, mata wang Syria hilang separuh nilainya berbanding dolar Amerika.

“Permintaan untuk barang-kemas telah menurun dengan ketara dalam tempoh dua tahun yang lalu sejak kenaikan harga emas di pasaran dunia sekali gus melemahkan pound Syria,” katanya.

Hari ini, mereka yang masih mempunyai pendapatan tetap meletakkan kepercayaan dalam pelaburan emas.

Tambah Mdari, mereka hanya berdiam diri sepanjang tempoh pergolakan yang panjang.

“Mereka lebih suka membeli barang perhiasan emas sebagai suatu pelaburan dan bukannya perhiasan diri,” katanya.

Seorang lagi tukang emas, Michel berkata, rakyat telah hilang kepercayaan dalam mata wang nasional.

“Apabila sekatan ekonomi baharu diumumkan, saya dapati ramai orang kaya membeli emas. Mereka percaya bahawa logam kuning ini menjamin keselamatan pada masa hadapan,” katanya.

Jaminan masa depan

Ahli profesional industri Damsyik bersetuju bahawa emas menyediakan satu bentuk tabungan yang terjamin dalam tempoh ketidaktentuan politik dan ekonomi.

Seorang tukang emas di pusat bandar Damsyik, Hisham berkata, mereka akan menyimpan wang dalam bentuk emas yang dibeli.

“Mereka akan memilih untuk membeli emas sebagai kaedah menyimpan wang simpanan. Mereka takut akan nilai dolar Amerika yang semakin meningkat dan kejatuhan pound Syria.

PERNIAGAAN konvensional menggunakan pound Syria tetap diteruskan walau dalam situasi yang tidak menentu.

“Emas juga lebih mudah untuk dibawa jika kita perlu meninggalkan tempat itu dengan kadar segera,” katanya.

Beliau mengakui bahawa kebanyakan pelabur emas terdiri daripada orang kelas atasan dan pertengahan, seperti di kebanyakan negara di dunia.

Kerajaan harian Al-Thawra memberitahu, kenaikan harga emas tidak menunjukkan tanda-tanda surut. Pada minggu lalu sahaja, nilai pasaran emas naik sebanyak 265 pound Syria (RM11.50).

Memetik kata, Persatuan Ketua Tempatan Barang Kemas, Georges Sarji berkata, emas berada di landasan yang betul untuk mencapai tahap baharu.

Beliau menyalahkan kenaikan harga yang disebabkan oleh peningkatan pasaran antarabangsa. Namun begitu, beliau tetap menegaskan bahawa pasaran jualan bertambah baik walaupun pada hakikatnya penduduk Syria masih lagi terpaksa menjual barangan emas mereka.

Menurut Sarji, lebih daripada 100 paun (lebih 45 kilogram) emas kini dijual setiap hari di Damsyik.

Harga satu aun emas pada penghujung minggu berada pada harga AS$1,739.04 (RM5,328) di pasaran antarabangsa.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *