Crane Central Sdn Bhd komited memperluaskan perkhidmatannya di seluruh Malaysia apabila merancang untuk membuka sekurang-kurangnya tujuh lagi cawangan Jewel Cafe menjelang akhir tahun ini, sekali gus mencapai sasaran jualan sebanyak RM10 juta.
Pengarahnya, Takefumi Yoshimoto berkata, setakat ini terdapat empat cawangan Jewel Cafe yang beroperasi di pasar raya AEON Taman Maluri, Wangsa Maju, Taman Equine dan AU2.
Katanya, bagi setiap cawangan pihaknya memperuntukkan pelaburan antara RM200,000 dan RM300,000 termasuk deposit dan bergantung pada lokasi serta saiz kerana Jewel Cafe adalah pertama di Malaysia yang menampilkan konsep kafe untuk pelanggan yang datang menjual barang kemas mereka.
“Jewel Cafe adalah rangkaian utama bagi barang kemas kitar semula di Jepun dan kami juga menerima barang kemas yang sudah rosak atau lama termasuk emas, perak, platinum dan berlian. Malah, menerusi konsep kafe kami menyediakan suasana serta ruang selesa untuk pelanggan.
“Bagi pelanggan yang membawa anak-anak juga tidak perlu risau kerana Jewel Cafe menyediakan ruang permainan untuk kanak-kanak dan konsep yang kami tampilkan di negara ini sama seperti di Jepun,” katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, selain mengetengahkan konsep mesra pelanggan, pihaknya turut menawarkan perkhidmatan cuci barang kemas secara percuma kepada orang ramai dan tisu percuma di mana bungkusannya boleh digunakan untuk menebus 10 peratus bonus tunai.
Yoshimoto berkata, pihaknya mahu pelanggan berasa selesa serta gembira dengan perkhidmatan yang ditawarkan Jewel Cafe dan selain itu, pelanggan juga diberi tawaran istimewa untuk mendapat ganjaran tunai dengan memperkenalkan rakan kepada Jewel Cafe dan baucar tunai sehingga RM100.