11/11/2008
Utusan Malaysia
KOTA BHARU 10 Nov. – Pajak gadai Islam, Ar-Rahn milik kerajaan negeri sehingga kini telah membayar ganti rugi sebanyak RM10 juta kepada para pelanggannya berikutan kehilangan barangan kemas mereka di premis berkenaan pada 9 Ogos lalu.
Pengurus Besar Permodalan Kelantan Berhad (PKB), Mohd. Sabri Abdullah berkata, baki RM7 juta nilai kehilangan itu juga dijangka akan dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang Disember ini.
Menurut beliau, pihaknya telah menyiapkan kesemua dokumen berkaitan dengan urusan pembayaran balik yang melibatkan kira-kira 7,000 resit transaksi pelanggannya.
”PKB akan membayar sepenuhnya baki itu, kira-kira RM2 juta melalui dana syarikat, manakala Takaful Malaysia hari ini telah menyerahkan pampasan sebanyak RM5 juta daripada jumlah barangan kemas yang diinsuranskan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyerahan pampasan itu oleh Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran Takaful Malaysia, Abdul Khalid Salleh kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Pada awal pagi 9 Ogos lalu, empat lelaki bertopeng memecah masuk dan melarikan barangan kemas dari premis Ar-Rahn cawangan Kota Bharu 1, di Jalan Temenggung di sini. Ar-Rahn merupakan syarikat subsidari PKB.
Sementara itu, untuk perancangan masa hadapan, Nik Abdul Aziz meminta PKB dan Takaful Malaysia supaya terus memperkemaskan perkongsian strategik termasuk meningkatkan kadar insurans barangan kemas di Ar-Rahn.
Cadangan itu disambut baik oleh Abdul Khalid yang akan memperincikan di dalam perbincangan antara pihaknya dan PKB.
Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, selain Ar-Rahn Kelantan, pihaknya kini sedang dalam proses untuk membayar pampasan insurans kepada kedai pajak gadai Islam Bank Rakyat cawangan Ulu Tiram, Johor yang turut dipecah masuk menjelang Aidilfitri lalu.
Katanya, kedua-duanya merupakan kes pertama melibatkan pembayaran pampasan insurans pajak gadai Islam sejak Takaful Malaysia beroperasi lebih 20 tahun lalu.
”Secara kebetulan, modus operandi yang digunakan oleh kedua-dua sindiket itu di Kota Bharu dan Ulu Tiram adalah hampir sama termasuk jumlah barangan kemas yang diambil, cara dinding ditebuk dan kedai dipecah masuk,” katanya.