AR-RAHNU PAJAK GADAI ISLAM PERTAMA DI DUNIA

Kenapa pajak gadai konvensional masih popular?
March 23, 2018
Barang kemas celup
March 23, 2018
Show all

AR-RAHNU PAJAK GADAI ISLAM PERTAMA DI DUNIA

SELASA, 28 MAC 2006
UTUSAN MALAYSIA

SISTEM cagaran untuk mendapatkan wang telah berlaku sejak zaman Rasulullah s.a.w. apabila Baginda pernah membeli makanan daripada orang Yahudi dengan menggadaikan baju besinya, menurut satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Allah s.w.t. berfirman bermaksud: Jika kamu dalam perjalanan (dan bermuamalah tidak secara tunai) sedangkan kamu tidak memperoleh seorang penulis, maka hendaklah ada barang jaminan yang dipegang (oleh yang berpiutang). Akan tetapi jika sebahagian kamu mempercayai sebahagian yang lain, maka hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanatnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya; dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan persaksian. Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya; dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Baqarah: 283)

Dalam Islam telah termaktub sistem yang sempurna dan praktikal untuk dilaksanakan oleh umatnya bagi mengelakkan berlakunya riba dan unsur-unsur gharar (penipuan). Bagaimanapun, sejak zaman pemerintahan British di negara ini, perniagaan pajak gadai banyak diusahakan masyarakat Cina. Ini telah menyebabkan berlakunya transaksi perniagaan yang bertentangan dengan hukum syarak.

Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Dr. Abdullah @ Alwi Hassan berkata, orang Melayu-Islam di negara ini memerlukan perkhidmatan mudah tunai dengan menggadai barang-barang tertentu untuk dijadikan modal pusingan dari semasa ke semasa.Kebiasaannya mereka menggunakan wang untuk membeli barang keperluan seperti beras dan bahan makanan.

“Apabila kesuntukan wang, mereka akan menggunakan barang kemas untuk membeli barang-barang lain atau ditebus balik. Tetapi persoalan yang timbul di sini ialah kadar bunga atau faedah yang dikenakan kepada penggadai. Malah, ada ketikanya barang tersebut akan lupus jika mereka gagal menebusnya kembali. Ini menunjukkan berlaku pengambilan terus secara tidak adil,��? jelas beliau mengenai operasi pajak gadai konvensional. Pada 1990, bekas Gabenor Bank Negara, Allahyarham Tan Sri Jaafar Hussin berucap dalam sebuah forum di Pulau Pinang tentang betapa perlunya sebuah institusi kewangan Islam menerusi sistem perbankan memberi kemudahan kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk memperoleh wang melalui cagaran.

Sebagai menyahut seruan itu, kerajaan Terengganu buat pertama kalinya telah melaksanakan Muassasah Gadaian Islam Terengganu pada 23 Januari 1992. Pajak gadai itu ditubuhkan di bawah Pejabat Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Terengganu. Penubuhan pajakan dan operasi itu termaktub di bawah peruntukan Seksyen 12 dan 14 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (Bil.2) 1986. Dari segi perundangan, operasi Muassasah Gadaian Islam Terengganu tertakluk di bawah Akta Pemegang Pajak Gadai 1972. Peraturannya berkuatkuasa pada 1 Jun 1992. Pelaksanaan Muassasah Gadaian Islam Terengganu yang memenuhi kehendak syariah Islam telah menarik minat Perbadanan Kemajuan Iktisad Kelantan. Melalui anak syarikatnya, Permodalan Kelantan Berhad, ia telah mewujudkan Kedai Ar-Rahn yang memulakan operasi pada Mac 1992 dengan modal awal RM2 juta. Ia merupakan syarikat atau institusi gadaian Islam terawal di Malaysia.

Kerajaan pusat telah menyarankan dilaksanakan sistem pajak gadai Islam Ar-Rahnu di seluruh negara menjelang 1993.
Kalangan ahli fuqaha dan sarjana undang-undang Islam mentakrifkan gadaian sebagai barang yang disahkan sebagai cagaran hutang atau dengan kata lain menjadikan sesuatu harta yang mempunyai harga sebagai jaminan hutang. Ia akan dijadikan pembayaran hutang sekiranya hutang tidak mampu dijelaskan.

Semua barang yang boleh diperdagangkan boleh digadaikan dalam tanggungan orang berhutang. Ar-Rahnu dari sudut bahasa membawa maksud tetap (al-Dawam) dan penahanan (al-Habs). Dari segi pelaksanaan yang lebih meluas, Bank Kerjasama Rakyat dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) telah memperkenalkan skim pajak gadai Islam kepada masyarakat umum. Pelaksanaannya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang bertindak sebagai badan kawal selia kerajaan.

“Sebagaimana institusi kewangan Islam yang lain seperti takaful dan Bank Islam, skim Ar-Rahnu bertujuan untuk mengelakkan umat Islam daripada terlibat dengan amalan riba dan ketidakadilan dalam sistem pajak gadai konvensional. Dari segi ekonomi, skim ini menjadi platform untuk mendapatkan modal segera dalam perniagaan barang-barang runcit,��? ujar Abdullah mengenai objektif pelaksanaan skim Ar-Rahnu.

YPEIM menjadi pelabur utama dan penyelaras dana pelaburan dan Bank Rakyat bertindak sebagai pengurus pelaksanaan operasi skim tersebut. Projek itu dijalankan berdasarkan kepada konsep Mudarabah Khas (Muqayyadah). Skim yang bermula pada 21 Oktober 1993 itu melibatkan pelaburan berjumlah RM5 juta daripada YPEIM dengan pembahagian keuntungan 70:30. Melihat kepada sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat, YPEIM kemudian menjalin kerjasama dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan Bank Pertanian Malaysia. Pelaksanaan skim itu di semua institusi kewangan adalah selaras dengan hukum syariah.

Beberapa badan pergerakan koperasi dan kerajaan negeri turut menceburkan diri dalam bidang itu. Contohnya, kerajaan Perlis telah menubuhkan sistem pajak gadai Islam pada Januari 1997. Antara badan pergerakan koperasi yang terawal dalam pelaksanaan skim ini ialah Koperasi Pengguna Pahang Berhad, Koperasi Gabungan Pekebun Kecil Perak Berhad dan Koperasi Kakitangan Kerajaan dan Badan-badan Berkanun Terengganu.

Jelas Abdullah, konsep Ar-Rahnu menggalakkan pinjaman tanpa faedah kepada mereka yang memerlukan dan membantu masyarakat tanpa mengira batas agama dan keturunan. Selain itu, ia dapat mengelakkan penglibatan umat Islam dengan transaksi perdagangan yang berunsur negatif. Islam menghalalkan gadaian kerana ia berupaya meningkatkan taraf sosial dan keadilan dalam masyarakat.

Berdasarkan kajian dan pemerhatian yang dijalankan, beliau mendapati pajak gadai konvensional mempunyai beberapa aspek yang bercanggah dengan hukum Islam terutama dari segi pelaksanaan dan operasi. Katanya, penyelewengan berlaku dari segi nilai gadaian yang semakin menyusut walaupun barang kemas didapati lebih berat. Malah undang-undang pajak gadai tidak mewajibkan peniaga pajak gadai mencatatkan saiz dan berat barang kemas pada resit gadaian. Mereka juga dikenal pasti menetapkan kadar faedah yang berlebihan berbanding yang telah termaktub dalam Seksyen 46, Akta Pemegang Pajak Gadai 1972.

Tambah Abdullah, sistem konvensional memberi nilai gadaian rendah walaupun banyak barang yang hendak digadai kerana akta tidak menetapkan kriteria untuk meletakkan harga pada barang gadaian. Peniaga pajak gadai turut mengenakan bayaran ke atas resit gadaian. Berdasarkan kepada akta itu, pemegang gadaian boleh mendapatkan semula resit secara percuma apabila memohon penangguhan tetapi ada yang mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran 50 sen untuk setiap salinan resit gadaian yang seterusnya. Mereka berani mengambil kesempatan kerana akta tidak mewajibkan pemberian resit bagi barang yang telah digadai kecuali pemegang yang perlu menyerahkan surat pajak gadai sahaja.

“Pada masa yang sama, peniaga pajak gadai tidak memulangkan wang lebihan selepas lelongan dan ditolak jumlah hutang. Tindakan ini ternyata menindas pengguna yang amat memerlukan wang tersebut,��? katanya.
Apabila peniaga pajak gadai didapati sewenang-wenangnya menindas pengguna yang kurang arif mengenai operasi pajak gadai, secara tidak langsung ia membuktikan kelemahan Seksyen 46, Akta Pemegang Pajak Gadai 1972.
Antara kelemahan yang dikenal pasti ialah akta itu tidak mewajibkan peniaga menunjukkan kadar faedah yang ditetapkan di tempat terbuka dengan jelas atau menerangkan kepada penggadai yang buta huruf kerana perniagaan pajak gadai tidak dipantau dengan ketat.
Akta tersebut juga tidak menetapkan kawalan atau peraturan terhadap acara melelong barang gadaian yang tidak ditebus. Malah tidak dinyatakan waktu dan tempat lelongan diadakan. Barang gadaian yang hendak dilelong juga tidak dipamerkan.

“Walaupun akta ada menyatakan pemegang lesen bertanggungjawab terhadap barang cagaran tetapi jika berlaku kerosakan, pampasan yang dibayar kepada penggadai adalah tidak adil kerana ia menerima nilai yang lebih rendah dan kurang daripada nilai gadaian sebenar,��? ujar Abdullah.

Enam bulan adalah tempoh pajakan yang singkat jika jumlah pinjaman yang dibuat adalah besar dan penggadai terdiri daripada golongan miskin dan berpendapatan rendah. Pada masa yang sama, penggadai turut dibebankan dengan kadar faedah yang tinggi kerana perniagaan pajak gadai memerlukan modal yang besar. Selain itu, akta itu hanya mengehadkan peniaga pajak gadai memberi pinjaman sebanyak RM5,000 dan jika lebih ia perlu mendapatkan lesen peminjam wang. Keadaan ini sangat merugikan penggadai kerana keadaan inflasi akan menaikkan nilai barangan.
Dari segi menamatkan kontrak gadaian, Abdullah menjelaskan, barang gadaian akan diserahkan apabila penggadai telah melunaskan hutang kepada pemegang gadai. Sekiranya penggadai tidak mampu membayar hutang yang diambil, apabila tamat kontrak, dengan kebenaran hakim pemegang gadai boleh melelong barang tersebut dan ia hanya boleh meletakkan harga barang tersebut sebanyak hutang yang dikenakan

Selain itu, kontrak juga boleh berakhir dengan pelupusan hutang (ibra’) iaitu pemegang gadai bersetuju menghapuskan hutang dengan memulangkan semua barang tersebut tanpa membayar hutang. Mengenai status penggadai yang meninggal dunia, Abdullah menyatakan, kontrak gadaian tidak akan berakhir atau terbatal sekiranya berlaku kematian. Jika penggadai atau pemegang gadai meninggal dunia, waris-waris akan menggantikan tempat mereka. Sekiranya waris masih kecil atau berada di luar negara, maka waris boleh menjual harta gadaian dengan persetujuan pemegang gadaian dan ia hanya boleh digunakan untuk menjelaskan hutang si mati.

“Dalam kes gadaian yang menggunakan harta yang dipinjam pula, sekiranya berlaku kematian, pemegang gadai tidak boleh menjual barang tersebut melainkan dengan keizinan pemberi pinjaman. Tetapi jika pemberi pinjaman ingin menjualnya tanpa keizinan pemegang gadai, syaratnya harga jualan perlu dapat menampung jumlah hutang,��? jelas Abdullah. Sistem pajak gadai Islam ternyata memberi kelebihan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan keturunan kerana ia berlandaskan kepada hukum Islam. Pajak gadai Islam dinilai oleh penasihat syariah yang terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang undang-undang Islam.
Ar-Rahnu yang dijalankan di Malaysia merupakan sistem pajak gadai yang pertama di dunia dan hingga kini masih belum ada sistem yang seumpamanya di dunia.

Dari segi bahasa ia bermaksud tetap. Ada juga yang memberi maksud menahan.
Dalam Bahasa Malaysia, ar-Rahn ialah gadaian yang bermaksud pinjaman wang dengan menyerahkan barang sebagai cagaran untuk tempoh tertentu (Kamus Dewan, 1993).
Dalam istilah fiqh, ar-Rahn bermaksud menjadikan sesuatu harta sebagai cagaran atau gadaian atas sesuatu hutang untuk menjamin pembayaran balik hutang tersebut.

2. Apakah yang dimaksudkan Marhun?

Marhun bermaksud barang yang digadai. Sesuatu gadaian tidak akan berlaku jika tidak wujudnya marhun atau barang yang bernilai dan boleh digadaikan. Barang yang hendak digadai ini mestilah milik sendiri dan bukan barang yang dirampas atau barang yang dipinjam kerana gadaian ke atas kedua-dua jenis barangan tersebut adalah tidak sah.

Islam menetapkan bahawa menerima marhun adalah satu rukun akad Rahn. Oleh itu gadaian tidak dikira berlaku sehingga barang yang digadaikan itu belum diterima oleh orang yang menerima gadaian

3. Apakah syarat-syarat barang gadaian?
Suci dari segi syara’.
Barang yang hendak digadaikan perlulah barang yang boleh memberi faedah kepada manusia.
Barang yang hendak digadai adalah hakmilik penggadai.
Barang yang hendak digadai tersebut mestilah dimiliki dan boleh diserahkan ketika berlakunya aqad atau sighah.
Barang yang hendak digadaikan mestilah ditentukan harganya .
Berlaku penyerahan dan penerimaan barang yang digadaikan.
4. Apakah maksud penggadai?

Penggadai (Rahin) adalah orang yang menggadaikan barangan (marhun). Gadaian tidak akan berlaku dan tidak dianggap sah jika tidak ada penggadai.

5. Apakah maksud penerima gadaian (Murtahin)?

Penerima gadaian (Murtahin) adalah orang atau pihak yang memberi pinjaman kepada penggadai atas nilai marhun yang digadaikan .

6. Apakah maksud Al Wadiah Yad Dhamanah?

Merujuk kepada simpanan barang berharga dengan jaminan. Setiap simpanan akan dikenakan upah simpan.

7. Apakah syarat-syarat penggadai dan penerima gadaian?

Berakal
Baligh
Cerdik
Tidak dipaksa
Berkuasa penuh ke atas diri dan hartanya
8. Apakah hukum bergadai ?

Hukum bergadai adalah diharuskan. Para fuqaha bersepakat mengharuskan gadaian, sama ada dalam keadaan musafir atau tidak. Ini berbeza dengan pendapat mujahid dan Ulamak Zahiriyyah yang memandang pensyariatan secara am di dalam Al-Sunnah

Bergadai adalah sesuatu yang disyariatkan di dalam Islam sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 283.

“Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang dan memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang-orang yang memberi hutang…)��?

9. Apakah perbezaan antara pajak gadai konvensional dan pajak gadai Islam?

Pajak gadai konvensional adalah pajak gadai yang menjalankan operasinya yang tidak mengikut hukum syara’. Pajak gadai konvensional berasaskan kadar faedah dan beroperasi demi keuntungan semata-mata, sementara pajak gadai Islam membawa konsep pinjaman tanpa faedah berasaskan prinsip Qard Al-Hassan, dengan tujuan perkhidmatan kepada golongan yang memerlukan bantuan. Penggadai dikenakan upah menyimpan ke atas nilai barang gadaian (marhun)

10. Apakah kelemahan pajak gadai konvensional?

Nilai gadaian merosot.
Mengenakan kadar faedah yang berlebihan.
Memberi nilai gadaian yang rendah.
Tiket gadaian sukar dibaca atau difahami.
Mengenakan bayaran terhadap salinan tiket gadaian.
Melelong gadaian bernilai lebih RM100 tanpa memberitahu penggadai.
Wang lebih gadaian tidak dipulangkan.
Pemberitahu upacara lelong tidak disebarkan seluasnya.
Pemegang pajak gadai menuntut wang pendahuluan.