19hb Feb 2009
OPAT RATTANACHOT
KULIM 18 Feb. – Tidak sampai 24 jam selepas kumpulan Jack tumpas di Petaling Jaya, polis menembak mati enam lagi penjenayah yang dikehendaki kerana terbabit dalam beberapa siri rompakan bersenjata di sebuah rumah di Kampung Kemunting, Sungai Karangan dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 10.10 malam itu, kesemua suspek yang berusia antara 20 dan 50 tahun mati di rumah persembunyian tersebut selepas berbalas tembakan.
Turut ditahan empat wanita berusia antara 21 dan 28 tahun yang dipercayai kenalan suspek-suspek berkenaan ketika bersembunyi dalam rumah tersebut.
Selain itu, turut dirampas dua pucuk senjata api semi auto, Smith & Wesson 9 milimeter (mm) bersama tujuh butir peluru hidup dan revolver .38 mm Special bersama lima butir peluru hidup.
Polis juga merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk melebur emas di dalam bilik rumah itu serta tiga buah kenderaan mewah jenis BMW, Proton Perdana dan Cherokee.
Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan lapan pegawai dan anggota dari Cawangan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.
Katanya, sebaik tiba di kawasan terbabit, kesemua suspek telah diminta supaya menyerah diri tetapi beberapa orang daripada mereka telah bertindak melepaskan beberapa das tembakan.
“Polis terpaksa membalas tembakan tersebut untuk mempertahankan diri,” katanya pada sidang akhbar khas di Pejabat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Sungai Petani dekat sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusof, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali dan Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Ghuzlan Salleh.
Menurut Syed Ismail, identiti lima daripada lelaki terbabit telah dikenal pasti sementara seorang lagi masih disiasat.
“Lima dari suspek tersebut berasal dari Kulim, Johor dan Selama, Perak. Seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah manakala seorang lagi dikehendaki polis berhubung kes dadah,” jelasnya.
Beliau memberitahu, pemeriksaan lanjut di premis yang baru dibina dan dikelilingi pagar diperbuat daripada zink itu menjumpai dua pucuk pistol dan tiga kenderaan mewah, dipercayai untuk kegunaan rompakan.
Katanya, siasatan yang dijalankan menunjukkan bahawa kumpulan terbabit bergiat aktif melakukan kegiatan rompakan bersenjata dengan sasaran utama ialah kedai emas di sekitar Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak.
“Kita percaya selepas berjaya lakukan rompakan mereka akan bawa emas untuk dilebur di rumah terbabit sebelum dijual semula secara haram,” katanya.
Ketika ditanya tentang kemungkinan terdapat lagi saki baki anggota kumpulan itu, Syed Ismail berkata, pihaknya akan menyiasat perkara berkenaan.
“Kita juga akan menyiasat apakah hubungan wanita yang ditahan itu dengan suspek. Mereka kini telah dikenakan tindakan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim,” jelasnya.
Beliau berkata, mayat kesemua suspek dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk dibedah siasat.
Kejayaan polis yang dicatatkan di Kulim semalam merupakan yang kelima dalam tempoh tiga minggu lalu.