|
Siti Nur Almizan Aripin (
NSTP)
MEMBELI emas untuk penyimpanan kedengaran
sedikit janggal kerana ramai beranggapan logam
kuning keemasan itu lebih terserlah kemewahan
dan ketinggian mutunya apabila dipamerkan
sebagai perhiasan diri.
Bagaimanapun, kemelut ekonomi yang melanda
dunia menyebabkan ramai mula sedar mengenai
kepentingan membeli emas untuk dijadikan aset
pelaburan.
Pemangkin terhadap minat serta trend yang
semakin berkembang itu adalah fungsi komoditi
itu sebagai penyimpan nilai kalis inflasi dan
berdaya tahan terhadap ketidaktentuan ekonomi
global yang sedang melanda ekonomi dunia ketika
ini.
Mengapa melabur emas? Jawapannya sangat mudah.
Melabur emas bukan sekadar mendapatkan
keuntungan ke atas modal tapi juga melindungi
nilai aset daripada inflasi dan deflasi.
Presiden Etika Emas Estet Berhad, Mohd Amin
Supian, berkata emas adalah logam berharga yang
sentiasa disebut di dalam Tamadun Islam dan
peradaban dunia.
Perkataan emas atau 'gold' berasal daripada
perkataan Indo-Eropah iaitu kuning yang merujuk
kepada logam yang menonjol sifatnya.
"Seistimewa rupa dan nilainya, emas juga
bersifat kekal. Selain melambangkan ketulenan,
bernilai tinggi, kedaulatan dan simbol status,
emas juga menjadi lambang kemewahan kepada
individu atau sesebuah negara yang
memilikinya," katanya.
Pada 2003, mantan Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamed pernah melihat kebaikan dinar
emas sebagai mata wang seragam dan tetap nilai
seperti diperkenalkan ketika zaman Rasulullah
SAW.
"Sayangnya ketika itu idea Tun Dr Mahathir agak
sukar untuk diterima, dipandang remeh serta
dilihat sebagai saingan dan seakan hendak
meniru euro dolar Eropah," katanya.
MOHD AMIN menunjukkan jonkong emas pelbagai
saiz yang dijual untuk skim pelaburan di Etika
Emas.
Bertitik tolak daripada kesedaran mengenai
kepentingan menyimpan emas, Mohd Amin dan
kumpulannya mengambil inisiatif untuk
menubuhkan sebuah syarikat yang menjalankan
aktiviti membeli dan menjual emas fizikal 24
karat dengan kualiti 999.9 atau 99.9%
tulen.
Sebagai jaminan, setiap pelanggan yang membeli
dan menyimpan emas di Etika Emas ditawarkan
emas fizikal iaitu emas sebenar yang boleh
dilihat, dipegang dan disimpan sebelum
dicagarkan di skim Ar-Rahnu ditawarkan Bank
Rakyat.
Selain itu, Etika Emas yang ditubuhkan dua
tahun lalu itu juga turut menawarkan khidmat
perundingan kepada pelanggan mengenai cara
mengurus aset emas dengan bijak selain koperasi
bagi menguruskan sendiri skim pajak gadai emas
berlandaskan Syariah atau Ar-Rahnu dengan
kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi
Malaysia (SKM).
Kata Mohd Amin, selepas mengetahui kehebatan
penyimpanan emas, dia melakukan banyak
penyelidikan dan pembacaan malah turut
berkongsi pengetahuan mengenai penyimpanan emas
daripada rakan-rakan yang sudah lama membeli
dan menyimpan emas fizikal sebagai
pelaburan.
"Perbezaan antara menyimpan emas fizikal dan
emas yang sudah siap diproses (barang kemas,
syiling emas) adalah dari sudut keuntungan
kerana pembelian jongkong emas membolehkan kita
mendapat keuntungan bersih.
"Emas yang dibeli dalam bentuk barangan kemas
atau syiling emas dijual pada kadar 40 peratus
tinggi daripada jongkong emas iaitu membabitkan
kos buruh. Justeru, jika anda berminat untuk
menyimpan emas, jongkong emas lebih digalakkan
kerana untung bersih yang dimiliki jika ia
dijual lebih tinggi," katanya.
Seperti dikatakan Mohd Amin, menyimpan jongkong
emas sebagai aset pelaburan juga menggunakan
kaedah yang sama seperti jual beli saham dan
jual beli mata wang (tidak dibenarkan Bank
Negara Malaysia).
Katanya, pemilik emas mempunyai pilihan sama
ada menyimpan sendiri emas milik mereka atau
menyimpannya di peti simpanan bank. Jika mereka
inginkan wang di saat memerlukan, simpanan emas
fizikal berkenaan boleh dijual tapi nilainya
akan susut antara 15 hingga 30 peratus daripada
harga pasaran.
"Sebagai alternatif, mereka boleh mendapatkan
pinjaman atau modal pusingan pada kadar 50
hingga 65 peratus dengan mencagarkan emas yang
dimiliki di pajak gadai konvensional atau pajak
gadai Islam, Ar-Rahnu.
"Emas yang dicagar boleh ditebus atau diambil
kembali dengan menunjukkan surat pajakan, kad
pengenalan, membayar jumlah prinsipal pinjaman
dan upah simpan (Ar-Rahnu) atau faedah (pajak
gadai konvensional)," katanya.
Bagaimanapun, bagi melunaskan sebahagian
daripada tanggungjawab sebagai seorang Muslim,
Mohd Amin menyimpan impian menjadikan penubuhan
Etika Emas sebagai sesuatu yang mendatangkan
kebaikan kepada orang ramai dan umat Islam
khususnya.
"Koperasi Etika Emas ditubuhkan bagi membantu
orang ramai mendapatkan manfaat daripada
program simpanan dan pembelian emas yang
dijalankan, seterusnya kita ingin melihat pajak
gadai Islam Ar-Rahnu dibuka di seluruh
negara.
"Etika Emas juga ingin melihat pemilikan emas
di kalangan golongan muda kerana kami sedar
pemilikan emas walaupun di dalam jumlah yang
sedikit sebenarnya dapat membantu perkembangan
tamadun dan ummah melalui kadar zakat 2.5
peratus setahun yang dikenakan," katanya.
Katanya, nilai emas yang tidak menyusut
menyebabkan simpanan jongkong emas mendatangkan
keuntungan terutama ketika gelora ekonomi
melanda dan Mohd Amin juga menyarankan orang
ramai supaya membuat simpanan emas fizikal
sebagai jaminan masa depan.
"Nilai emas tidak menyusut tapi jika anda
perhatikan nilai mata wang mudah mengalami
kejatuhan. Tidak keterlaluan dikatakan, di saat
negara bergolak mata wang tidak menjanjikan
jaminan kesenangan atau pengaruh.
"Jadikan sayap juruterbang yang diperbuat
daripada emas sebagai contoh, jika mereka
terhempas dan masih selamat, pin emas itu akan
menjadi penyelamat kerana nilai emas dijamin
nilainya walau di kalangan Orang Asli,"
katanya.
Selepas dua tahun ditubuhkan, Etika Emas kini
berbangga kerana mempunyai 2,600 pelanggan yang
membeli dan menyimpan emas fizikal melalui
program ditawarkan dan 600,000 keping dinar
emas terjual dengan jumlah simpanan emas
fizikal sebanyak 1.6 tan.
"Tahun ini kami mensasarkan lebih ramai
penyimpan emas termasuk perseorangan daripada
luar negara dengan pertambahan simpanan emas
lebih daripada 45 tan. Tapi kami akan pastikan
simpanan emas dibuat di dalam negara bertujuan
untuk meningkatkan simpanan emas di dalam
negara," katanya.
Berbeza antara pembelian emas dari Etika Emas
dan kedai emas biasa adalah setiap hadiah
(pengurangan harga) diberikan di dalam bentuk
tunai setiap bulan iaitu pada kadar 30 peratus
daripada 100 gram emas yang dibeli selama enam
bulan.
"Selain program pembelian satu jongkong emas,
kami juga menawarkan program dua iaitu beli
satu dan dipinjamkan satu jongkong daripada
Etika Emas ke dalam akaun simpanan untuk
menggalakkan mereka membuat tambahan simpanan
emas apabila tempoh gadaian pertama tamat.
"Tapi jika harga emas dunia meningkat, mereka
boleh membuat pilihan sama ada hendak menjual
atau terus menyimpan jongkong emas yang
dimiliki bergantung kepada keperluan,"
katanya.
Info
Jongkong emas dijual Etika Emas adalah di dalam
kiraan berat 20 kg, 50 kg, 100 kg, 500 kg, 1 kg
dan paling berat adalah 12.5
kg.
Nilai berat setiap jongkong berkenaan dibuat
berdasarkan harga pasaran antarabangsa dan
boleh di rujuk melalui laman web www.kitco.com
atau www.wgc.com.
Pasaran London menawarkan penjualan segera dan
penjualan akan datang untuk emas. Ia ditetapkan
oleh Geng Lima yang mewakili pengedar emas
serta bank terpengaruh dunia. Geng Lima terdiri
daripada ketuanya, N M Rothschild, Societte
General, Hongkong Shanghai Bank (HSBC), Scotia
Mocatta dan Deutsche Bank.
Nilai jual Kijang emas yang dikeluarkan Bank
Negara Malaysia (31 Disember 2008) adalah
RM3,200 untuk berat 31.10 g (1oz), RM1,630
(15.55 g) dan RM830 (7.775 g). Pelaburan emas
terbahagi kepada empat iaitu pelaburan barang
kemas, syiling emas, jongkong emas dan dinar
emas.
Fakta
Ahli kimia tidak pernah berjaya menghasilkan
emas tiruan kerana sifat logam berkenaan sukar
ditiru.
Sifat emas tulen adalah lembut paling boleh
ditempa dan dibentuk.
Emas asli boleh disahkan tulen melalui dua cara
mudah iaitu apabila digigit, ia meninggalkan
kesan lekuk gigi, kedua apabila dibakar atau
dicairkan, ia tidak berubah
warna.
|