|
Dec 2008
Kosmo
PADA penghujung tahun, biasanya banyak majlis
keraian serta ulang tahun diadakan termasuk
majlis-majlis perkahwinan. Ramai memilih untuk
menghadiahkan set barang kemas sebagai tanda
kasih dan penghargaan.
Bagi yang bakal mendirikan rumah tangga, set
barang kemas bukan sahaja penyeri dulang
hantaran yang indah dan berharga tetapi
merupakan bingkisan yang menjadi idaman setiap
wanita.
Elemen Fesyen minggu ini mengajak anda memahami
secara terperinci mengapa anda harus memberi
atau menerima barang kemas sebagai hadiah tahun
ini dan memulakan tahun 2008 dengan ‘nilai’
yang lebih tinggi.
Membeli perhiasan diri atau lebih tepat barang
kemas adalah satu pelaburan yang bijak kerana
ia bukan sahaja menambah seri penampilan
seseorang, tetapi dari sehari ke sehari,
nilainya bertambah.
Ini sesuatu yang perlu difikirkan oleh setiap
wanita. Seorang teman yang membeli seutas
rantai emas 916 bernilai RM700 pada 15 tahun
lalu mendapati hari ini, rantainya itu sudah
mencecah lebih RM2,000.
“Kalau saya tahu, saya tidak beli baju dan beg
tangan mahal-mahal tetapi sebaliknya membeli
barang kemas.” Mungkin ramai yang akan berkata
begitu.
Gemerlapan barang kemas yang dipakai merupakan
satu sensasi yang mewujudkan gaya tersendiri
dan personaliti si pemakai.
Dengan pelbagai rekaan untuk dipilih, koleksi
yang terdapat di pasaran hari ini amat
mementingkan cita rasa dan keperibadian wanita
yang semakin canggih dan kompleks.
Keprihatinan tukang-tukang emas ini telah
menghasilkan generasi barang kemas yang amat
ketara mutu dan gayanya sesuai untuk wanita
tertentu.
Hari ini, rekaan dan gaya barang kemas
dihasilkan begitu sempurna dengan gabungan
motif kontemporari dan tradisional sekali gus
memberikan nafas baru kepada industri barang
kemas.
Dalam pada itu, ia memberikan pilihan yang
lebih meluas bagi wanita untuk bertukar-tukar
gaya pada setiap hari mengikut keperluan majlis
dan suasana.
Sempena menyambut pelbagai festival sebelum
menutup tirai tahun 2007, jualan akhir tahun
merupakan satu tumpuan bagi kebanyakan kedai
barang kemas untuk memberi tawaran lumayan
sekali gus memberi peluang menguntungkan kepada
pelanggan.
Habib Jewels contohnya, di kesemua 15 bilik
pamerannya di seluruh Malaysia mengadakan
jualan secara besar-besaran. Selain daripada
tawaran harga yang hebat, mereka memastikan
koleksi akhir tahun kali ini memberikan sesuatu
yang lebih istimewa untuk pelanggan.
Selain emas 916, emas tulen dan emas 24 karat
serta berlian, kini menjadi trend perhiasan
barang kemas ialah batu permata berwarna-warni
yang diikat dengan gaya moden dan rekaan yang
eksklusif.
Batu permata berwarna cair adalah trend hari
ini. Datang dalam warna-warna menawan, jernih
dan diikat emas, ia menjadi salah satu faktor
yang menampilkan gaya perhiasan diri yang
tersendiri dan menawan pada diri seseorang
wanita yang memakainya.
Lebin menarik, apabila terdapat campuran jenis
emas yang digunakan, misalnya emas putih dan
kuning atau campuran emas mawar.
Contohnya, Habib yang mula memperkenalkan batu
permata zamrud, delima dan safir biru sedikit
masa dulu, kini memberikan pilihan yang lebih
meluas untuk wanita yang sentiasa dahagakan
kelainan dan kesegaran gaya dengan pelbagai
variasi barang kemas berbatu permata.
Antaranya ialah batu akuamarin (biru cair),
kunzite (merah jambu cair), quarts (hijau
jernih, merah jambu dan kuning) dan pelbagai
lagi yang dahulunya jarang kedengaran tetapi
kini telah mula menghiasi jari, tangan, dada,
telinga dan leher pelanggannya.
Menurut jurucakap Habib, Yasheedah Yashaiya,
koleksi jualan akhir tahun kali ini membuktikan
Habib menepati janjinya untuk mewujudkan barang
kemas berkualiti antarabangsa dengan reka
bentuk moden dan pada kelasnya yang
tersendiri.
Sebagai contoh, pelanggan kini boleh memiliki
cincin berlian dengan reka bentuk moden dan
trendy pada harga yang berpatutan.
“Ini bukan janji tetapi satu kenyataan. Kini,
tiada sebab atau alasan mengapa bakal pengantin
tidak mampu untuk memeterai mercu tanda kasih
dan cinta mereka dengan berlian,”
tambahnya.
Dengan memberikan lebih penumpuan kepada rekaan
moden yang abstrak, rantai tangan Habib sesuai
untuk pakaian kontemporari mahupun
tradisional.
“Habib sekali lagi telah dianugerahkan dengan
Anugerah Gold Trusted Brand untuk kategori
kedai emas yang dipercayai oleh Reader’s Digest
Trusted Brand Awards 2007.
“Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut
Habib memenangi anugerah tersebut. Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
juga telah menganugerahkan Habib sebagai
penerima Anugerah Kedai Harga Patut baru-baru
ini.
“Sementara Malaysian Retail Association memberi
anugerah Service, Corteous and Excellence
Award,” ujar Yasheeda bangga dengan
perkhidmatan yang mereka berikan.
*Memilih perhiasan emas
Mungkin anda tertanya-tanya mengapa lebih bijak
sekiranya anda melabur emas sebagai perhiasan
diri atau sebagai hadiah?
Semua tahu bahawa emas merupakan lambang kepada
wira sukan dan emas tulen juga telah menjadi
asas terbinanya sebuah negara oleh peneroka
zaman dahulu kala.
Begitupun dalam barang kemas, penggunaannya
banyak dalam bentuk campuran 916 atau 14 karat.
Untuk pengetahuan anda, 14 karat bererti 14
bahagian emas dan 20 bahagian lagi campuran
logam lain.
Sementara 14 karat merupakan jenis emas yang
biasa terdapat di dalam perhiasan barang kemas,
terdapat juga jenis daripada 10 karat hingga ke
999 yang hampir seratus peratus tulen tetapi
jenis ini lembut dan tidak digunakan untuk
perhiasan berpermata kerana ia boleh berubah
bentuk dan tidak mengikat kukuh batu
permata.
Kebanyakan barang kemas hari ini, terutama di
negara Barat, disadur emas. Begitupun rupanya
hampir sama yang tulen, tetapi terdapat
perbezaan yang besar antara keduanya, dari segi
harga dan kekuatannya.
Secara teknikalnya, barang kemas yang disadur
bermakna ia disadur sekurang-kurangnya satu
lapisan emas 10 karat pada logam asas.
Penyaduran juga mungkin mengandungi lebih nilai
emas dengan penggunaan emas 14 karat atau karat
yang lebih dan inilah yang membezakan nilai
sesuatu perhiasan.
Begitupun tebal dan lebihnya karat yang
digunakan, perhiasan bersadur akhirnya
menghakis. Ia akan menjadi kusam, mengikut cara
pemakaian dan setebal mana ia disadur.
Begitupun, sekiranya anda membeli sebentuk
cincin untuk perkahwinan atau pertunangan,
adalah lebih baik sekiranya anda pastikan
cincin tersebut diperbuat daripada emas tulen
kerana ia akan kekal lebih lama dan tentu
sekali anda tidak mahu melihat cincin tunang
atau perkahwinan yang menjadi lambang cinta
serta kesetiaan anda itu pudar.
*Petua membeli
Minta jurujual menulis maklumat tentang
perhiasan yang ingin dibeli. Kadangkala
terdapat maklumat yang tidak bertulis,
sedangkan anda patut tahu. Jadi, anda boleh
bertanya dan minta ia dicatatkan di dalam
resit.
-Sebelum membuat keputusan membeli, tanyakan
juga tentang polisi penggantian atau
memulangkan semula. Ini penting sekiranya
terjadi sesuatu.
-Bercadang membuat tempahan melalui tempahan
online? Pastikan, anda menyimpan salinan muka
surat web tersebut dan resitnya, termasuk
pesanan e-melnya sekali.
-Apa juga maklumat tentang transaksi termasuk
harga, maklumat pulang semula dan polisi ganti
balik yang boleh membantu anda kemudian hari
disimpan sebagai bukti sekiranya anda tidak
berpuas hati.
*Faktor membeli emas sebagai hadiah
-Mengenal pasti cita rasa penerima hadiah
kerana pemberian hadiah ini akan menjadi sangat
bermakna untuknya.
-Reka bentuk barangan kemas mestilah sesuai
dengan personaliti penerima.
-Memilih barangan yang boleh disimpan selamanya
dan akan menjadi kenangan abadi. Seperti loket
yang mempunyai reka bentuk tersendiri.
-Mengikut bajet dan mampu dimiliki.
-Membeli barangan kemas dari kedai emas yang
bertauliah dan resit pembelian dikemukakan.
|