|
February 06, 2008
Berita
Harian
JUMLAH cawangan menawarkan perkhidmatan pajak
gadai di seluruh Malaysia pada akhir 2000 ialah
sebanyak 399 dengan nisbah satu pajak gadai
bagi setiap lima cawangan bank perdagangan.
Jumlah pelanggan pula dianggarkan 1,015,200
orang, dengan purata 300 pelanggan setiap bulan
dan purata pinjaman RM803 seorang.
Kesimpulannya, pinjaman pajak gadai mempunyai
peranan tersendiri dengan peratusan bilangan
penduduk mendapat manfaat (penduduk Malaysia
dianggarkan berjumlah 19 juta orang pada
1995).
Namun, kajian menunjukkan pajak gadai di setiap
negeri dapat menawarkan kepada jumlah penduduk
lebih ramai. Contohnya, setiap pajak gadai
menawarkan perkhidmatan kepada 70,488 penduduk
pada 1980, tetapi angka ini meningkat kepada
103,393 penduduk pada 2000.
Pajak gadai juga penting kepada penduduk
Malaysia, terutama bagi golongan berpendapatan
rendah (kurang daripada RM500) dan kurang
berpendidikan (tingkat sekolah rendah).
Golongan itu mempunyai risiko pinjaman yang
tinggi menyebabkan mereka terpinggir daripada
pasaran kewangan arus perdana.
Kajian oleh Ragayah (1986) menunjukkan bahawa
suri rumah, pekerja swasta dan kakitangan
sokongan kerajaan tidak layak meminjam daripada
pasaran kewangan arus perdana seperti bank
perdagangan dan syarikat kewangan.
Perkembangan terkini dengan kewujudan jongkong
emas kijang mampu mengembangkan lagi peranan
pajak gadai. Pelaburan aset termasuk emas
perhiasan, jongkong emas kijang, perak dan
platinum adalah pilihan portfolio pelaburan
selain saham, bon, hartanah dan tunai yang
boleh dipilih pelabur masa kini.
Malah, ahli strategi pelaburan berpendapat
pelaburan yang berjaya perlu mengimbangi dan
mempelbagaikan portfolio pelaburan. Mereka
mencadangkan supaya pelabur memegang antara
lima peratus hingga 15 peratus daripada
portfolio dalam aset.
Faktor penyumbang dari segi kelebihan melabur
dalam aset emas ialah harga yang lebih stabil
berbanding saham atau stok, kurang bersifat
jangka pendek. Contohnya, peristiwa pengeboman
Pusat Dagangan Dunia dan Pentagon di Amerika
Syarikat menyebabkan kelembapan ekonomi dunia
secara keseluruhan dan seterusnya menyebabkan
pasaran saham Amerika Syarikat jatuh
merudum.
Kesan sebaliknya berlaku terhadap harga emas
yang didapati semakin kukuh. Harga emas semakin
meningkat hingga mencapai kenaikan AS$20 satu
aun dan turun naik dalam julat berkenaan.
Sementara di pasaran emas London pula, harga
emas antara tempoh 1989-1997 dianggap stabil
dan turun naik harganya berlaku sekitar 30 per
aun.
Oleh kerana pelaburan emas berjangka pendek,
maka pelabur boleh mencairkan emasnya di pajak
gadai. Ini bermaksud, pemilik jongkong emas
kijang boleh menggadai emasnya apabila harga
emas semasa lebih rendah berbanding harga
dijangka. Keuntungan daripada sumber deposit
mudharabah dan hasil perbezaan harga belian dan
jualan akan diperoleh pemilik.
Pada 1999, jumlah emas diimport ialah RM3.4
bilion. Ini menunjukkan emas yang dipegang
sebagai aset semakin bertambah.
Pajak gadai turut menjadi tumpuan saluran mikro
kredit kepada penjaja, peniaga kecil serta
perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Penjaja
dan peniaga kecil cenderung menggunakan
perkhidmatan pajak gadai.
Sebagai bukti, menurut Barjoyai (1999) skim
pajak gadai membantu peniaga pasar dan peniaga
kecil di Lembah Klang, Kuala Terengganu dan
Kota Bahru mendapatkan tambahan modal. Begitu
juga pembiayaan perniagaan bagi kebanyakan
usahawan PKS.
Sistem pajak gadai dijangka mampu dijadikan
alternatif kepada pinjaman bank dan Credit
Guarantee Corporation (CGC). Dua persoalan
dikemukakan Abd Ghafar dan Nor Zakiah (1997)
berkaitan pengaplikasian skim pajak gadai
kepada PKS, pertama, mampukah institusi
kewangan memenuhi keperluan dana bagi PKS
memandangkan pertumbuhan pesat bilangan PKS
daripada 4393 pada 1988 kepada 17,483 pada
1996.
Kedua, bagaimana industri pajak gadai mampu
menyediakan dana. Bagi menjawab persoalan itu
berapa faktor digariskan antaranya, kos
pengangkutan dan kos tempoh pemprosesan
pinjaman; kemeruapan kadar faedah;
kecenderungan tidak formal; kesan liberalisasi
kewangan; tempoh masa; kerahsiaan pinjaman dan
had waktu operasi sistem perbankan.
Berdasarkan ukuran dan perkembangan
dibincangkan dalam bahagian tiga, jelas
institusi pajak gadai di Malaysia mempunyai
potensi besar dalam menjana ekonomi masyarakat
dengan syarat kegiatan pajak gadai
dieksploitasi sepenuhnya dan keberkesanan
aktivitinya juga dipertingkatkan.
Namun begitu, usaha merancang dan membangun
pajak gadai seharusnya dilaksanakan dengan
mengambil kira bukan saja jumlah pinjaman
dijana, tetapi juga mampu menjawab bagaimana
isu kawal selia dapat memberi kesan kepada
operasi dan perkembangan institusi pajak
gadai.
Persoalan yang timbul, adakah pajak gadai perlu
dikawal selia? Jika iya, apakah aktiviti yang
harus dikawal selia? Siapakah yang harus
mengawal selia operasi pajak gadai?
Akta Pajak Gadai 1972 umumnya mendefinisikan
'perniagaan pajak gadai' sebagai perniagaan
yang memberikan pinjaman wang dengan
menyerahkan 'barang berharga' sebagai cagaran.
Wang dipinjamkan pula perlu diperoleh daripada
dana awam.
Contohnya, geran kerajaan, sumbangan agensi
kerajaan (seperti Majlis Agama Islam Negeri),
pelabur individu dalam bentuk modal
persendirian dan modal keluarga, saham koperasi
atau pinjaman bank. Ini menimbulkan risiko
kepada institusi yang menjalankan perniagaan
itu.
Tambahan pula, lesen, perniagaan pajak gadai
diperoleh daripada Majlis Tempatan dan
Kementerian Kewangan (bagi kes kedai pajak
gadai ditawarkan YaPEIM). Oleh itu, kuasa untuk
mengawal perniagaan pajak gadai melalui
pelesenan adalah landasan yang digunakan agensi
berkenaan untuk mengawal selia perniagaan
ini.
Aspek penting yang harus dipertimbangkan sama
ada kedua-duanya mempunyai keupayaan dan sumber
manusia untuk melaksanakan tugas itu. Oleh
demikian, kos tambahan harus ditanggung Majlis
Tempatan untuk menstruktur organisasi,
mendapatkan kakitangan teknikal dan sumber
manusia untuk memenuhi tatacara kawal selia
serta keperluan melaporkan.
Selain itu, pengenalan garis panduan kawal
selia dan piawaian peraturan adalah isu yang
dapat dikaitkan dengan persoalan mengapa
aktiviti pajak gadai harus dikawal selia, oleh
siapa dan bentuk kawal selia. Namun,
kedua-duanya boleh mengekang inovasi dan
keluwesan akibat terbiasa dengan tanda niaga
tidak formal.
Beberapa kesimpulan dapat dibuat iaitu
perkembangan Ar-Rahnu (pajak gadai Islam) di
Malaysia amat menggalakkan dengan bilangan
cawangan Ar-Rahnu dan jumlah pinjaman semakin
meningkat.
Kedua, sokongan dana kerajaan dan bantuan
kepakaran Ar-Rahnu YaPEIM sebagai contoh,
kepada cawangan baru Ar-Rahnu lain.
Namun begitu, usaha untuk mengembangkan
Ar-Rahnu memerlukan cadangan lanjutan antaranya
keperluan sumber manusia untuk operasi
cawangan, kawal selia dan pengenalan beberapa
bentuk peraturan untuk memantap
kewujudannya.
Dalam bentuk kerjasama serantau pula, ini dapat
dimanfaatkan Malaysia dari segi menyumbangkan
kepakaran operasi, kawal selia dan
mengembangkan aktiviti ke negara lain menerusi
Sekretariat Ar-Rahnu Serantau yang diterajui
YaPEIM membabitkan keanggotaan Malaysia,
Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei
Darussalam, Kemboja dan Timor Leste.
|