|
13 APRIL 2005
UTUSAN MALAYSIA
Dalam manifesto pilihan raya umum tahun lalu, Barisan Nasional (BN) Terengganu membuat beberapa
janji. Salah satu janji ialah memperbanyakkan perkhidmatan pajak gadai tanpa riba kepada umat
Islam. Kini, setelah merintis penubuhan pusat gadaian Islam pertama di Kuala Ibai, Kuala Terengganu
pada tahun 1991, kerajaan negeri di bawah BN yang dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Idris
Jusoh mengotakan janji dengan menambah cawangan Muassasah Ar-Rahnu Maidam-KPAT kepada tiga buah
lagi.
Selain di Kuala Ibai, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memiliki cawangan lain
di Kuala Berang (Hulu Terengganu), Jalan Tok Lam (Kuala Terengganu) dan terbaru di bandar Jertih,
yang dirasmikan oleh Idris pada Sabtu lalu. Dalam ucapannya pada majlis itu Idris menyatakan, dua
cawangan lagi akan dibuka di bandar Dungun dan Kemaman dalam tempoh terdekat. Menurut beliau,
sebanyak RM10 juta akan diperuntukkan bagi menjayakan sistem gadaian Islam di negeri ini.
``Dulu, Pas semasa memerintah negeri ini banyak bercakap nak tubuh kedai pajak gadai Islam tetapi
tidak ada satu pun yang menjadi kenyataan.
``Tetapi kerajaan BN walaupun dituduh kurang mengerti Islam, begitu bersungguh-sungguh dalam
membantu umat Islam termasuk merealisasikan penubuhan banyak Muassasah Ar-Rahnu dan membina banyak
masjid baru walaupun hanya setahun memerintah Terengganu,'' katanya.
Mungkin banyak kalangan masyarakat negara ini yang tidak mengetahui bahawa kerajaan BN Terengganu
melalui Maidam adalah perintis kepada pelaksanaan sistem gadaian Islam di negara ini. Ketua
Eksekutif Maidam, Datuk Alwi Muhammad memberitahu Utusan Malaysia, ada pihak yang mengaitkan sistem
gadaian Islam itu pertama kali diperkenalkan oleh kerajaan Pas Kelantan.
``Perkara ini perlu diperbetulkan kerana kerajaan Pas Kelantan yang meniru Muassasah Ar-Rahnu di
Terengganu semasa ia mula diperkenalkan oleh kerajaan BN Terengganu pada tahun 1991.
``Malah, sistem gadaian Islam yang diperkenalkan oleh Bank Rakyat juga mengambil contoh apa yang
dilakukan di Terengganu,'' kata Alwi sambil menjelaskan KPAT adalah singkatan kepada Koperasi
Pegawai-Pegawai Agama Terengganu.
Selain daripada itu, menurut beliau, Maidam juga adalah majlis agama Islam yang pertama terbabit
secara langsung dalam penubuhan kedai pajak gadai Islam.Menurut beliau, penubuhan Muassasah
Ar-Rahnu itu bertujuan membantu rakyat semasa dalam kesusahan dengan memberi hutang bercagar pada
kadar upah yang rendah di bawah sistem yang selari dengan kehendak agama. Lazimnya, mana-mana
institusi perniagaan akan mengambil kira untung rugi dalam berniaga. Namun, dalam bisnes pajak
gadai Islam Maidam ini, soal untung rugi ditolak ke tepi.
``Ramai yang tidak percaya bahawa cawangan pertama Ar-Rahnu di Kuala Ibai, Kuala Terengganu tidak
mengambil sebarang upah menyimpan barangan kemas yang digadai oleh umat Islam. Maknanya,
perkhidmatan itu diberikan secara percuma.
``Pada masa yang sama, kita terpaksa membelanjakan kira-kira RM300,000 setahun untuk menggerakkan
operasi cawangan Ar-Rahnu di Ibai seperti membayar gaji kakitangan, pengawal keselamatan, membeli
insurans dan lain-lain.
``Yang penting, kita lakukan itu untuk membantu umat Islam. Tetapi untuk cawangan pertama di Kuala
Ibai, Maidam akan mengenakan sedikit caj seperti mana yang dikenakan di cawangan-cawangan lain,''
jelasnya.
Berdasarkan sistem yang diperkenalkan itu, semua kedai pajak gadai Islam milik Maidam tidak
mengenakan bunga bagi mereka yang menggadai barangan kemas tetapi sedikit caj dikenakan atas nama
`upah menyimpan'.
Mengikut kadar sekarang, sekiranya seseorang itu menggadai barangan kemas bernilai RM1,000 hingga
RM1,499, upah menyimpan yang dikenakan adalah RM20; RM1,500 hingga RM2,000 (upah RM40); RM2,001
hingga RM2,500 (upah RM60); RM2,501 hingga RM3,500 (upah RM80); RM3,001 hingga RM3,500 (upah
RM100).
Bagi gadaian bernilai RM3,501 hingga RM4,000, kadar upahnya RM120; RM4,001 hingga RM4,500 (RM1,500)
dan RM4,501 hingga RM5,000 (upah RM160).
Alwi memberitahu, upah simpan dikenakan berdasarkan hutang diambil dan bukannya berdasarkan nilai
barangan kemas yang dicagarkan atau digadai.
``Muassasah Ar-Rahnu akan mengambil upah simpan sebaik saja penggadai selesai mencagarkan barang
kemas mereka,'' jelasnya.
Mengenai sambutan umat Islam kepada kedai pajak gadai Islam itu, beliau berkata, ia amat
menggalakkan. Mengambil contoh cawangan barunya di Jertih yang baru dibuka sejak sebulan lalu dan
belum begitu dikenali oleh masyarakat Islam setempat, cawangan itu berjaya menguruskan sebanyak 52
penggadai dengan nilai gadaian berjumlah RM95,660.
``Untuk nilai gadaian RM95,660 itu, jumlah upah simpan yang MAIDAM peroleh hanya RM2,460 sahaja.
Kita bukan berniaga sebenarnya tetapi sekadar memberi perkhidmatan agar umat Islam tidak
terperangkap dengan sistem gadaian berunsur riba atau meminjam kepada along,'' ujarnya.
Mengenai kedudukan barangan kemas itu jika gagal dituntut oleh penggadai setelah tamat tempohnya
iaitu tiga bulan dari tarikh gadaian, Alwi berkata, mereka tidak akan rugi satu sen pun malah
mendapat keuntungan pula.
``Jika ada barangan kemas yang gagal ditebus, kita akan lelong barangan kemas itu dan jika nilai
gadaian RM3,000 dan kita berjaya melelong dengan harga RM5,000, kita akan serahkan RM2,000 kembali
kepada penggadai terbabit.
``Tujuan kita menubuhkan Muassasah Ar-Rahnu bukan untuk membebankan umat Islam kerana kita tahu
mereka berada dalam kesusahan sehingga terpaksa menggadai barang kemas mereka,'' tambah
Alwi.
|