|
17-Sept-2010
KOSMO

|
|
SERPIHAN emas yang ditemui oleh pendulang.
|
HUJAN rintik-rintik, angin bertiup lembut dan ruang angkasa yang tidak memancarkan cahaya terik
bukan suasana musim panas yang sempurna untuk menghabiskan masa berjam-jam di Sungai Upper Rhine di
bahagian timur banjaran Alps, Switzerland.
Namun itulah yang dilakukan oleh beberapa pendulang emas yang memakai but paras lutut
bersenjatakan baldi dan penyodok sambil menunduk tekun mendulang emas.
Kawasan di Disentis mempunyai reputasi sebagai lokasi emas kerana jika bernasib baik pendulang
menemui seketul emas yang besar.
"Untuk mencari emas, seseorang perlu banyak masa dan kesabaran yang tinggi. Emas adalah sesuatu
yang cukup istimewa.
"Logam ini mempunyai magis tersendiri, apabila ia dalam genggaman seseorang maka ia adalah
sesuatu yang cukup istimewa. Anda mungkin dipukau semangat emas," kata seorang pakar tempatan dalam
seni mendulang, August Braendle.
Harga emas
Dengan harga emas yang melonjak, para pelabur merasakan ia adalah komoditi yang selamat ketika
ekonomi global meleset. Sehubungan itu, aktiviti mendulang emas kembali.
Pada bulan Jun lalu, harga emas melonjak sehingga AS$1,265 (RM3,952) seauns. Kini harganya
berada sekitar AS$1,220 (RM3,811) seauns.
"Lonjakan harga mungkin menjadi titik tolak kepada sesetengah orang di sini kerana ia merupakan
topik hangat buat masa ini.
"Namun saya rasa ia bukan punca utama kerana kebanyakan emas yang kami temui mempunyai nilai
tersendiri," kata Braendle.
Emas yang ditemui di Rhine biasanya mempunyai harga yang lebih tinggi dalam pasaran kerana ia
didulang dengan tangan.
Pendulang biasanya menggali sebaldi tanah sungai sebelum menuangkannya melalui sebuah pintu air
yang menghadang bahan-bahan berat termasuk emas. Kandungan pintu air dikosongkan ke atas dulang
yang rata sebelum dikacau untuk mengasingkan serpihan emas.
Braendle menunjukkan subang dan rantai miliknya yang ditempa dengan emas yang ditemui di sungai
itu.
Malah dia digelar oleh penduduk tempatan sebagai Gold Gusti kerana pernah menemui ketulan emas
seberat 48.7 gram yang kini disimpan di bank.
Ketulan emas itu merupakan satu rekod di Switzerland, tetapi tidak lama selepas itu satu lagi
ketulan seberat 123.1 gram ditemui oleh seorang pendulang bernama Peter Boelsterli.
"Masih terdapat banyak rahsia di sini," ujar Braendle yang sebelum ini bekerja di sebuah firma
komputer di Zurich sebelum berpindah ke Disentis pada tahun 1995 untuk mengejar hobinya.

EMAS yang ditemui di Rhine mempunyai harga yang lebih tinggi.
Dia kini menghabiskan masa sebagai pemandu pelancong yang mendulang pada musimnya iaitu di
antara bulan Mei hingga pertengahan Oktober atau di landasan kereta api pergunungan pada musim
sejuk.
"Bagi saya emas adalah hobi, kerja dan segala-galanya," luahnya.
Namun ramai yang mengakui mendulang emas di Switzerland, sebuah negara bergaji besar dengan
kadar pengangguran yang rendah, sebagai memenatkan dan tidak berbaloi.
Penemuan emas di Switzerland sebenarnya jarang berlaku. Penggalian sebuah firma Kanada pada
tahun 1982 mendapati hanya 0.7 hingga tiga gram emas ditemui bagi setiap tan tanah. Ia menunjukkan
bahawa kawasan tersebut merupakan zon rendah emas. Menurut Swiss Gold Prospector Association,
kawasan yang kaya dengan emas mencatatkan angka dua digit.
"Di sini, mendulang emas hanya untuk keseronokan," kata Stefan Grossenbacher, pencari emas
profesional yang mengadakan kelas mendulang di Lembah Napf, dekat bandar Lucerne, tengah negara ini
pada musim panas sebelum ke New Zealand untuk mendulang emas ketika musim sejuk di sana.
"Tiada siapa boleh hidup dengan hanya mencari emas di sini," katanya lagi. - AFP
|