|
HARIAN METRO
KOTA BHARU: Empat penjenayah professional bertopeng memecah masuk sebuah kedai pajak gadai Islam,
Ar-Rahn di Jalan Tengku Chik, dekat sini, tengah malam kelmarin sebelum melarikan pelbagai barangan
kemas yang disimpan dalam 238 peti simpanan barangan kemas bernilai kira-kira RM18 juta.
Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, penjenayah terbabit memecah masuk premis berkenaan dengan
memanjat bumbung bangunan tiga tingkat itu, menyusup masuk melalui lubang laluan angin yang ditebuk
sebelum melarikan barangan kemas berkenaan yang disimpan dalam bilik kebal di tingkat satu bangunan
itu.
Bagaimanapun, penjenayah terbabit tidak sempat melarikan wang tunai RM390,000 apabila gagal membuka
peti simpanan wang tunai dalam bangunan sama.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd Rahim Hanafi, berkata kejadian itu hanya disedari syarikat kawalan
keselamatan di Kuala Lumpur apabila mendapati sistem penggera premis berkenaan tidak berfungsi jam
3 pagi sebelum melaporkan kejadian itu kepada pengurus kedai pajak gadai berkenaan dan polis untuk
tindakan lanjut.
Beliau berkata, sebaik menerima laporan kejadian itu jam 3 pagi semalam, sepasukan anggotanya
bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati penjenayah terbabit mula memasuki premis berkenaan pada jam
12.09 tengah malam berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan sebelum
memotong wayar CCTV itu sebaik menceroboh masuk dan melarikan simpanan barangan kemas
berkenaan.
Katanya, siasatan awal juga mendapati kumpulan penjenayah itu dipercayai profesional kerana
melakukan perbuatan itu dengan teliti dan terancang dan kes berkenaan dikesan pertama kali berlaku
di negeri ini.
“Berdasarkan rakaman CCTV itu, kami dapat mengesan empat penjenayah terbabit sudah lebih awal
menceroboh masuk dalam premis berkenaan.
“Keseluruhan barang kemas dilarikan bernilai kira-kira RM18 juta dan kami menjalankan siasatan rapi
berkaitan kes rompakan itu termasuk sama ada membabitkan orang dalam syarikat berkenaan,” katanya
pada sidang media di sini, semalam.
Beliau berkata, kedai pajak gadai itu milik Kumpulan Permodalan Kelantan Berhad (KPKB), anak
syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kedai pajak gadai berkenaan memang mempunyai pengawal
keselamatan tetapi hanya bertugas pada hari bekerja.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan.
“Setakat ini, kumpulan penjenayah itu dianggap profesional kerana melakukan rompakan dengan taktik
canggih iaitu memanjat bumbung dan memasukinya melalui lubang angin sebelum berjaya memecah masuk
pintu kebal dan melarikan pelbagai simpanan barangan kemas.” katanya.
|