|
SELASA, 28 MAC 2006
UTUSAN
MALAYSIA
SISTEM cagaran untuk mendapatkan wang telah
berlaku sejak zaman Rasulullah s.a.w. apabila
Baginda pernah membeli makanan daripada orang
Yahudi dengan menggadaikan baju besinya,
menurut satu hadis riwayat Bukhari dan
Muslim.
Allah s.w.t. berfirman bermaksud: Jika kamu
dalam perjalanan (dan bermuamalah tidak secara
tunai) sedangkan kamu tidak memperoleh seorang
penulis, maka hendaklah ada barang jaminan yang
dipegang (oleh yang berpiutang). Akan tetapi
jika sebahagian kamu mempercayai sebahagian
yang lain, maka hendaklah yang dipercayai itu
menunaikan amanatnya (hutangnya) dan hendaklah
ia bertakwa kepada Allah Tuhannya; dan
janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan
persaksian. Dan sesiapa yang menyembunyikannya,
maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa
hatinya; dan Allah Maha Mengetahui apa yang
kamu kerjakan. (Al-Baqarah: 283)
Dalam Islam telah termaktub sistem yang
sempurna dan praktikal untuk dilaksanakan oleh
umatnya bagi mengelakkan berlakunya riba dan
unsur-unsur gharar (penipuan). Bagaimanapun,
sejak zaman pemerintahan British di negara ini,
perniagaan pajak gadai banyak diusahakan
masyarakat Cina. Ini telah menyebabkan
berlakunya transaksi perniagaan yang
bertentangan dengan hukum syarak.
Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi
Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Dr.
Abdullah @ Alwi Hassan berkata, orang
Melayu-Islam di negara ini memerlukan
perkhidmatan mudah tunai dengan menggadai
barang-barang tertentu untuk dijadikan modal
pusingan dari semasa ke semasa.Kebiasaannya
mereka menggunakan wang untuk membeli barang
keperluan seperti beras dan bahan makanan.
“Apabila kesuntukan wang, mereka akan
menggunakan barang kemas untuk membeli
barang-barang lain atau ditebus balik. Tetapi
persoalan yang timbul di sini ialah kadar bunga
atau faedah yang dikenakan kepada penggadai.
Malah, ada ketikanya barang tersebut akan lupus
jika mereka gagal menebusnya kembali. Ini
menunjukkan berlaku pengambilan terus secara
tidak adil,��? jelas beliau mengenai operasi
pajak gadai konvensional. Pada 1990, bekas
Gabenor Bank Negara, Allahyarham Tan Sri Jaafar
Hussin berucap dalam sebuah forum di Pulau
Pinang tentang betapa perlunya sebuah institusi
kewangan Islam menerusi sistem perbankan
memberi kemudahan kepada mereka yang tidak
berkemampuan untuk memperoleh wang melalui
cagaran.
Sebagai menyahut seruan itu, kerajaan
Terengganu buat pertama kalinya telah
melaksanakan Muassasah Gadaian Islam Terengganu
pada 23 Januari 1992. Pajak gadai itu
ditubuhkan di bawah Pejabat Agama Islam dan
Adat Melayu Terengganu yang dibiayai sepenuhnya
oleh kerajaan Terengganu. Penubuhan pajakan dan
operasi itu termaktub di bawah peruntukan
Seksyen 12 dan 14 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal
Agama Islam Terengganu (Bil.2) 1986. Dari segi
perundangan, operasi Muassasah Gadaian Islam
Terengganu tertakluk di bawah Akta Pemegang
Pajak Gadai 1972. Peraturannya berkuatkuasa
pada 1 Jun 1992. Pelaksanaan Muassasah Gadaian
Islam Terengganu yang memenuhi kehendak syariah
Islam telah menarik minat Perbadanan Kemajuan
Iktisad Kelantan. Melalui anak syarikatnya,
Permodalan Kelantan Berhad, ia telah mewujudkan
Kedai Ar-Rahn yang memulakan operasi pada Mac
1992 dengan modal awal RM2 juta. Ia merupakan
syarikat atau institusi gadaian Islam terawal
di Malaysia.
Kerajaan pusat telah menyarankan dilaksanakan
sistem pajak gadai Islam Ar-Rahnu di seluruh
negara menjelang 1993.
Kalangan ahli fuqaha dan sarjana undang-undang
Islam mentakrifkan gadaian sebagai barang yang
disahkan sebagai cagaran hutang atau dengan
kata lain menjadikan sesuatu harta yang
mempunyai harga sebagai jaminan hutang. Ia akan
dijadikan pembayaran hutang sekiranya hutang
tidak mampu dijelaskan.
Semua barang yang boleh diperdagangkan boleh
digadaikan dalam tanggungan orang berhutang.
Ar-Rahnu dari sudut bahasa membawa maksud tetap
(al-Dawam) dan penahanan (al-Habs). Dari segi
pelaksanaan yang lebih meluas, Bank Kerjasama
Rakyat dengan kerjasama Yayasan Pembangunan
Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) telah
memperkenalkan skim pajak gadai Islam kepada
masyarakat umum. Pelaksanaannya mendapat
kerjasama sepenuhnya daripada Bank Negara
Malaysia (BNM) yang bertindak sebagai badan
kawal selia kerajaan.
“Sebagaimana institusi kewangan Islam yang lain
seperti takaful dan Bank Islam, skim Ar-Rahnu
bertujuan untuk mengelakkan umat Islam daripada
terlibat dengan amalan riba dan ketidakadilan
dalam sistem pajak gadai konvensional. Dari
segi ekonomi, skim ini menjadi platform untuk
mendapatkan modal segera dalam perniagaan
barang-barang runcit,��? ujar Abdullah mengenai
objektif pelaksanaan skim Ar-Rahnu.
YPEIM menjadi pelabur utama dan penyelaras dana
pelaburan dan Bank Rakyat bertindak sebagai
pengurus pelaksanaan operasi skim tersebut.
Projek itu dijalankan berdasarkan kepada konsep
Mudarabah Khas (Muqayyadah). Skim yang bermula
pada 21 Oktober 1993 itu melibatkan pelaburan
berjumlah RM5 juta daripada YPEIM dengan
pembahagian keuntungan 70:30. Melihat kepada
sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai
lapisan masyarakat, YPEIM kemudian menjalin
kerjasama dengan Bank Islam Malaysia Berhad
(BIMB) dan Bank Pertanian Malaysia. Pelaksanaan
skim itu di semua institusi kewangan adalah
selaras dengan hukum syariah.
Beberapa badan pergerakan koperasi dan kerajaan
negeri turut menceburkan diri dalam bidang itu.
Contohnya, kerajaan Perlis telah menubuhkan
sistem pajak gadai Islam pada Januari 1997.
Antara badan pergerakan koperasi yang terawal
dalam pelaksanaan skim ini ialah Koperasi
Pengguna Pahang Berhad, Koperasi Gabungan
Pekebun Kecil Perak Berhad dan Koperasi
Kakitangan Kerajaan dan Badan-badan Berkanun
Terengganu.
Jelas Abdullah, konsep Ar-Rahnu menggalakkan
pinjaman tanpa faedah kepada mereka yang
memerlukan dan membantu masyarakat tanpa
mengira batas agama dan keturunan. Selain itu,
ia dapat mengelakkan penglibatan umat Islam
dengan transaksi perdagangan yang berunsur
negatif. Islam menghalalkan gadaian kerana ia
berupaya meningkatkan taraf sosial dan keadilan
dalam masyarakat.
Berdasarkan kajian dan pemerhatian yang
dijalankan, beliau mendapati pajak gadai
konvensional mempunyai beberapa aspek yang
bercanggah dengan hukum Islam terutama dari
segi pelaksanaan dan operasi. Katanya,
penyelewengan berlaku dari segi nilai gadaian
yang semakin menyusut walaupun barang kemas
didapati lebih berat. Malah undang-undang pajak
gadai tidak mewajibkan peniaga pajak gadai
mencatatkan saiz dan berat barang kemas pada
resit gadaian. Mereka juga dikenal pasti
menetapkan kadar faedah yang berlebihan
berbanding yang telah termaktub dalam Seksyen
46, Akta Pemegang Pajak Gadai 1972.
Tambah Abdullah, sistem konvensional memberi
nilai gadaian rendah walaupun banyak barang
yang hendak digadai kerana akta tidak
menetapkan kriteria untuk meletakkan harga pada
barang gadaian. Peniaga pajak gadai turut
mengenakan bayaran ke atas resit gadaian.
Berdasarkan kepada akta itu, pemegang gadaian
boleh mendapatkan semula resit secara percuma
apabila memohon penangguhan tetapi ada yang
mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran
50 sen untuk setiap salinan resit gadaian yang
seterusnya. Mereka berani mengambil kesempatan
kerana akta tidak mewajibkan pemberian resit
bagi barang yang telah digadai kecuali pemegang
yang perlu menyerahkan surat pajak gadai
sahaja.
“Pada masa yang sama, peniaga pajak gadai tidak
memulangkan wang lebihan selepas lelongan dan
ditolak jumlah hutang. Tindakan ini ternyata
menindas pengguna yang amat memerlukan wang
tersebut,��? katanya.
Apabila peniaga pajak gadai didapati
sewenang-wenangnya menindas pengguna yang
kurang arif mengenai operasi pajak gadai,
secara tidak langsung ia membuktikan kelemahan
Seksyen 46, Akta Pemegang Pajak Gadai 1972.
Antara kelemahan yang dikenal pasti ialah akta
itu tidak mewajibkan peniaga menunjukkan kadar
faedah yang ditetapkan di tempat terbuka dengan
jelas atau menerangkan kepada penggadai yang
buta huruf kerana perniagaan pajak gadai tidak
dipantau dengan ketat.
Akta tersebut juga tidak menetapkan kawalan
atau peraturan terhadap acara melelong barang
gadaian yang tidak ditebus. Malah tidak
dinyatakan waktu dan tempat lelongan diadakan.
Barang gadaian yang hendak dilelong juga tidak
dipamerkan.
“Walaupun akta ada menyatakan pemegang lesen
bertanggungjawab terhadap barang cagaran tetapi
jika berlaku kerosakan, pampasan yang dibayar
kepada penggadai adalah tidak adil kerana ia
menerima nilai yang lebih rendah dan kurang
daripada nilai gadaian sebenar,��? ujar
Abdullah.
Enam bulan adalah tempoh pajakan yang singkat
jika jumlah pinjaman yang dibuat adalah besar
dan penggadai terdiri daripada golongan miskin
dan berpendapatan rendah. Pada masa yang sama,
penggadai turut dibebankan dengan kadar faedah
yang tinggi kerana perniagaan pajak gadai
memerlukan modal yang besar. Selain itu, akta
itu hanya mengehadkan peniaga pajak gadai
memberi pinjaman sebanyak RM5,000 dan jika
lebih ia perlu mendapatkan lesen peminjam wang.
Keadaan ini sangat merugikan penggadai kerana
keadaan inflasi akan menaikkan nilai
barangan.
Dari segi menamatkan kontrak gadaian, Abdullah
menjelaskan, barang gadaian akan diserahkan
apabila penggadai telah melunaskan hutang
kepada pemegang gadai. Sekiranya penggadai
tidak mampu membayar hutang yang diambil,
apabila tamat kontrak, dengan kebenaran hakim
pemegang gadai boleh melelong barang tersebut
dan ia hanya boleh meletakkan harga barang
tersebut sebanyak hutang yang dikenakan
Selain itu, kontrak juga boleh berakhir dengan
pelupusan hutang (ibra’) iaitu pemegang gadai
bersetuju menghapuskan hutang dengan
memulangkan semua barang tersebut tanpa
membayar hutang. Mengenai status penggadai yang
meninggal dunia, Abdullah menyatakan, kontrak
gadaian tidak akan berakhir atau terbatal
sekiranya berlaku kematian. Jika penggadai atau
pemegang gadai meninggal dunia, waris-waris
akan menggantikan tempat mereka. Sekiranya
waris masih kecil atau berada di luar negara,
maka waris boleh menjual harta gadaian dengan
persetujuan pemegang gadaian dan ia hanya boleh
digunakan untuk menjelaskan hutang si mati.
“Dalam kes gadaian yang menggunakan harta yang
dipinjam pula, sekiranya berlaku kematian,
pemegang gadai tidak boleh menjual barang
tersebut melainkan dengan keizinan pemberi
pinjaman. Tetapi jika pemberi pinjaman ingin
menjualnya tanpa keizinan pemegang gadai,
syaratnya harga jualan perlu dapat menampung
jumlah hutang,��? jelas Abdullah. Sistem pajak
gadai Islam ternyata memberi kelebihan kepada
semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama
dan keturunan kerana ia berlandaskan kepada
hukum Islam. Pajak gadai Islam dinilai oleh
penasihat syariah yang terdiri daripada mereka
yang mempunyai kepakaran dalam bidang
undang-undang Islam.
Ar-Rahnu yang dijalankan di Malaysia merupakan
sistem pajak gadai yang pertama di dunia dan
hingga kini masih belum ada sistem yang
seumpamanya di dunia.
Dari segi bahasa ia bermaksud tetap. Ada juga
yang memberi maksud menahan.
Dalam Bahasa Malaysia, ar-Rahn ialah gadaian
yang bermaksud pinjaman wang dengan menyerahkan
barang sebagai cagaran untuk tempoh tertentu
(Kamus Dewan, 1993).
Dalam istilah fiqh, ar-Rahn bermaksud
menjadikan sesuatu harta sebagai cagaran atau
gadaian atas sesuatu hutang untuk menjamin
pembayaran balik hutang tersebut.
2. Apakah yang dimaksudkan Marhun?
Marhun bermaksud barang yang digadai. Sesuatu
gadaian tidak akan berlaku jika tidak wujudnya
marhun atau barang yang bernilai dan boleh
digadaikan. Barang yang hendak digadai ini
mestilah milik sendiri dan bukan barang yang
dirampas atau barang yang dipinjam kerana
gadaian ke atas kedua-dua jenis barangan
tersebut adalah tidak sah.
Islam menetapkan bahawa menerima marhun adalah
satu rukun akad Rahn. Oleh itu gadaian tidak
dikira berlaku sehingga barang yang digadaikan
itu belum diterima oleh orang yang menerima
gadaian
3. Apakah syarat-syarat barang gadaian?
Suci dari segi syara’.
Barang yang hendak digadaikan perlulah barang
yang boleh memberi faedah kepada manusia.
Barang yang hendak digadai adalah hakmilik
penggadai.
Barang yang hendak digadai tersebut mestilah
dimiliki dan boleh diserahkan ketika berlakunya
aqad atau sighah.
Barang yang hendak digadaikan mestilah
ditentukan harganya .
Berlaku penyerahan dan penerimaan barang yang
digadaikan.
4. Apakah maksud penggadai?
Penggadai (Rahin) adalah orang yang
menggadaikan barangan (marhun). Gadaian tidak
akan berlaku dan tidak dianggap sah jika tidak
ada penggadai.
5. Apakah maksud penerima gadaian
(Murtahin)?
Penerima gadaian (Murtahin) adalah orang atau
pihak yang memberi pinjaman kepada penggadai
atas nilai marhun yang digadaikan .
6. Apakah maksud Al Wadiah Yad Dhamanah?
Merujuk kepada simpanan barang berharga dengan
jaminan. Setiap simpanan akan dikenakan upah
simpan.
7. Apakah syarat-syarat penggadai dan penerima
gadaian?
Berakal
Baligh
Cerdik
Tidak dipaksa
Berkuasa penuh ke atas diri dan hartanya
8. Apakah hukum bergadai ?
Hukum bergadai adalah diharuskan. Para fuqaha
bersepakat mengharuskan gadaian, sama ada dalam
keadaan musafir atau tidak. Ini berbeza dengan
pendapat mujahid dan Ulamak Zahiriyyah yang
memandang pensyariatan secara am di dalam
Al-Sunnah
Bergadai adalah sesuatu yang disyariatkan di
dalam Islam sebagaimana yang dinyatakan dalam
al-Quran surah al-Baqarah ayat 283.
“Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu
berhutang dan memberi hutang yang bertempoh),
sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka
hendaklah diadakan barang gadaian untuk
dipegang (oleh orang-orang yang memberi
hutang…)��?
9. Apakah perbezaan antara pajak gadai
konvensional dan pajak gadai Islam?
Pajak gadai konvensional adalah pajak gadai
yang menjalankan operasinya yang tidak mengikut
hukum syara’. Pajak gadai konvensional
berasaskan kadar faedah dan beroperasi demi
keuntungan semata-mata, sementara pajak gadai
Islam membawa konsep pinjaman tanpa faedah
berasaskan prinsip Qard Al-Hassan, dengan
tujuan perkhidmatan kepada golongan yang
memerlukan bantuan. Penggadai dikenakan upah
menyimpan ke atas nilai barang gadaian
(marhun)
10. Apakah kelemahan pajak gadai
konvensional?
Nilai gadaian merosot.
Mengenakan kadar faedah yang berlebihan.
Memberi nilai gadaian yang rendah.
Tiket gadaian sukar dibaca atau difahami.
Mengenakan bayaran terhadap salinan tiket
gadaian.
Melelong gadaian bernilai lebih RM100 tanpa
memberitahu penggadai.
Wang lebih gadaian tidak dipulangkan.
Pemberitahu upacara lelong tidak disebarkan
seluasnya.
Pemegang pajak gadai menuntut wang
pendahuluan.
|